Selasa, 6 November 2012

Kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Pendidikan adalah teras kepada kehidupan yang sejahtera dan dinamik.. Pendidikan secara tidak langsung menentukan corak serta mutu kehidupan manusia. Pendidikan yang berkesan bakal melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri yang kuat dan mulia. Peranan pendidikan sangat penting dalam pembentukan generasi muda untuk menjadi rakyat Malaysia yang dapat menyumbangkan bakti dalam perkembangan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik di Negara ini.  Berdasarkan pernyataan di atas, matlamat pendidikan Negara bolehlah dinyatakan secara ringkas sebagai usaha untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek,rohani dan jasmani

Elemen yang pertama adalah pendidikan suatu usaha berterusan. Definisi pendidikan ialah suatu proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan ,bertenaga serta mahir serta berakhlak mulia. Dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek, ternyata elemen ini perlu dilaksanakan dengan jayanya. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat yang mana bermula dari pendidikan tidak formal di rumah dalam peringkat awal kanak-kanak seterusnya di prasekolah, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja. Tidak terhenti setakat itu, pendidikan di Institut Pengajian Tinggi menjadi destinasi budaya ilmu seterusnya. Tidak setakat tamat setelah menggenggam segulung ijazah, pendidikan sewajarnya diteruskan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w “Tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad”. Pendidikan tidaklah terhad dalam bentuk formal di institusi pengajian sahaja, malah pendidikan meliputi semua termasuk pengalaman sendiri, melalui orang lain atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara on-line dan melalui media massa. Rasional pendidikan sepanjang hayat adalah membolehkan kita menghadapi dan menangani pelbagai cabaran dan pembangunan yang pesat, khasnya perkembangan k-ekonomi dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi. Justeru itu, pendidikan secara berterusan ini merupakan hasrat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan perlaksanaan elemen ini, rakyat Malaysia akan menjadi bangsa yang berilmu dan seterusnya mampu menyahut seruan kerajaan selaras matlamat Wawasan 2020. Warganegara Malaysia akan menjadi bangsa yang bertamadun, kuat dan berjaya, memacu ekonomi negara serta pembangunan moden yang meletakkan Malaysia setaraf negara-negara maju di dunia. Semua ini bermula dengan memperkasakan ilmu secara berterusan.


Elemen yang seterusnya adalah memperkembang potensi individu. Mengikut kajian, setiap individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani emosi dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi adalah terpendam dalam kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembang dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir, seperti menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, menguasai kemahiran asas untuk memeroleh, meningkat dan menyebarkan ilmu, dapat berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dan dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.
Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan tubuh badan individu seperti memperkembang kepada tahap keupayaan seperti menjaga kesihatan tubuh badan diri melakukan riadah dengan sempurna;menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap; memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan meningkatkan daya pengeluaran demi memberi sumbangan kepada kemajuan Negara.
Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat iaitu  memperoleh perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal ;memiliki perasaan kasih sayang ;memiliki semangat kekitaan, muhibbah kerjasama dan perpaduan dan mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian
            Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan kebatinan iaitu mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya pencipta; mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta;mempunyai perasaan menyedar dan menginsaf terhadap tanggungjawab; dapat memupuk dan membina disiplin kendiri dan dapat membentuk akhlak yang mulia.  

Elemen yang seterusnya adalah insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan , bertenaga mahir dan berakhlak mulia mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram , tubuh badan sihat dan cergas, serta kematangan emosi sosial dan rohani telah diperkembang secara menyeluruh bersepadu dan dalam tahap optimum
            Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu secara inetelek, jasmani , emosi social dan rohani, telah diperkembang secara menyeluruh bersepadu dan dalam tahap optimum.
            Insan yang seimbang dan harmonis adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri keluarga dan Negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan Negara.
           

Akhir-akhir ini modal insan sering diperkatakan dan diberikan penekanan yang serius oleh Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian, siapakah modal insan ini dan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada kemajuan Negara. Modal insan merupakan individu yang tidak bersifat individualistik tetapi bersifat sebahagian daripada masyarakat Malaysia, berilmu, berkeyakinan, memiliki nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, keluarga mantap, berdisiplin, dinamik, berdaya tahan tinggi, berinovasi, kreatif, sihat, bersemangat patriotik dan nasionalisme, adil, bersikap progresif, cekal, berintegrasi dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara selaras, menyeluruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu ,menikmati keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang.

Tiada ulasan: