Sistem pendidikan akan berubah
sejajar dengan peubahan aspek ekonomi, budaya dan politik Perubahan aspek
tersebut amat hebat dan pantas. Leka dan alpa boleh menyebabkan kita terpinggir
dan tersingkir. Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat
dan terlalu sengit. Pendek kata prinsip dan nilai sejagat akan menentukan
kejayaan sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem pendidikan
dan persekolahan dalam menghadapi gelombang perubahan alaf baru perlu berfungsi
pada landasannya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Perubahan-perubahan
yang hebat dan pantas dalam aspek pendidikan, ekonomi, budaya dan politik
adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia. Cabaran-cabaran pendidikan
yang besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global,
pendidikan bertaraf dunia, penerapan budaya ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P), merapatkan jurang pendidikan, pembinaan budaya ilmu,
memartabatkan profesionalisme perguruan, menghapuskan rintangan pendemokrasian
pendidikan, semua itu perlu dilakukan ke arah membentuk masyarakat madani dan
negara yang maju dalam konteks pendidikan . Justeru itu, agenda penting untuk
membangunkan rakyat Malaysia
melalui sistem pendidikan adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Justeru , kita perlu mengkaji secara
mendalam apakah tindakan drastik yang perlu diambil secara serius supaya globalisasi pendidikan dapat dicapai.
Globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media. Mengikut Profesor Michael
Gibbons (2003) Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel menyatakan
globalisasi merupakan proses berterusan dalam perindustrian pendidikan yang
telah berlaku lama dahulu. Mengikut beliau globalisasi pendidikan ialah proses
perubahan untuk amalan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Fungsi utama
globalisasi pendidikan ialah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk
pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan
untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu. Justeru itu kerajaan
Malaysia telah mengambil beberapa langkah positif seperti menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) dan
mengembangkan sekolah-sekolah bestari, mereformasikan kurikulum sekolah , serta
penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang untuk penubuhan
kolej-universiti di dalam negeri.
Cabaran seterusnya adalah pendidikan bertaraf dunia. Sektor industri pendidikan di negara
sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan
pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan
juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini
meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau
memperolehi status ‘World Class Education’. Pendidikan bertaraf dunia
menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara,
khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan
kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.
Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud
kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor
pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu menekankan pembangunan
tenaga manusia, kepesatan
pertumbuhan ekonomi membaiki taraf dan kualiti kebajikan sosial, pemodenan dan
reformasi sosial masyarakat, kecemerlangan budaya fikir dan intelektual,
pembangunan teknologi dan sains, kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang
tinggi di kalangan masyarakat. Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu
komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan
negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu
menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat
dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan
mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam
segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat
martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
Dalam mencapai kecemerlangan pendidikan, menjadi
satu cabaran pendidikan untuk mempraktikkan teknologi ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dalam penggunaan teknologi
dan perkomputeran
para pendidik perlu mengambil peranan dan seharusnya mengorak langkah dan
menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin
ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan
penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme
urusan harian. Guru hendaklah berorientasikan maklumat, iaitu
bersungguh-sungguh mengejar maklumat-maklumat baru yang berkaitan dengan
Pendidikan Komunikasi (ICT). Ini bukan sahaja untuk mengemaskinikan ilmu
pengetahuan dan kemahiran diri sendiri tetapi juga untuk faedah
pelajar-pelajar.
Bidang keguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai misi nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu IT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai golongan yang akan menyebar luaskan kepada para pelajar. Guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020, Kerajaan membangunkan koridor raya multimedia (MSC) sebagai pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan semaksima mungkin. Jangan ada di kalangan guru dan pentadbir sekolah yang berfikiran sempit dengan ‘mengunci’ segala peralatan kerana takut rosak. Situasi ini akan merugikan pelajar dan kerajaan. Guru juga tidak menjadikan alasan teknologi yang dibekalkan sebagai satu masalah kepada mereka.
Bidang keguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai misi nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu IT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai golongan yang akan menyebar luaskan kepada para pelajar. Guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020, Kerajaan membangunkan koridor raya multimedia (MSC) sebagai pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan semaksima mungkin. Jangan ada di kalangan guru dan pentadbir sekolah yang berfikiran sempit dengan ‘mengunci’ segala peralatan kerana takut rosak. Situasi ini akan merugikan pelajar dan kerajaan. Guru juga tidak menjadikan alasan teknologi yang dibekalkan sebagai satu masalah kepada mereka.
Cabaran lain adalah meningkatkan
profesionalisme perguruan.
Menjadi satu kepentingan dan amat mustahak supaya golongan pendidik di negara
ini perlu sentiasa menghidupkan motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan
sedia menghadapi cabaran-cabaran baru, disamping meningkatkan kewibawaan
keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi oleh
murid, ibubapa dan masyarakat. Budaya mengajar yang masih bersifat usang,
tradisional dan kurang berkesan menangani masalah asas pendidikan seperti buta
huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang
mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun
khususnya di Malaysia memerlukan resolusi yang lebih radikal dilakukan.
guru-guru perlu berwibawa dengan ilmu pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan
falsafah pendidikan yang progresif, dan dapat mengembangkan profesionalisme
perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda yang celik budaya,
mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif
untuk mencapai kemajuan dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam
masyarakat perlu diluaskan skopnya dan tidak hanya berada di takuk lama dengan
menganggap guru hanya mengajar di sekolah. Profesyen perguruan harus
berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan perkembangan
individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan
yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis
kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan
tuntutan kemajuan dan perubahan. menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan
dengan mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk
mengubah dan belajar untuk berubah.
Menjadi
hasrat yang amat besar oleh pihak kerajaan untuk mencapai semua kejayaan
terutamanya dalam bidang pendidikan negara. Namun begitu, ia tidak bermakna
jika hanya segelintir rakyat yang mendapat peluang itu. Seluruh rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina , India ,
dan kaum minoriti lain perlu mendapat pendidikan sewajarnya. Masyarakat
bumiputra asli atau mereka yang tinggal di pedalaman perlu diberi perhatian
oleh pihak kerajaan. Ini amat perlu untuk merapatkan jurang pendidikan
dan seluruh rakyat Malaysia
mendapat hak mereka. Namun begitu, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan,
masih ada ibu bapa dari pedalaman yang takut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Pemikiran jumud ini perlu dibersihkan supaya keadaan mereka berubah dan anak-anak
merekalah yang akan merubah kehidupan mereka daripada dibelenggu kemiskinan.
Perdana Menteri Malaysia,YAB Datuk
Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah meminta rakyat supaya mencari strategi
dan pelan baru bagi menghadapi alaf mendatang ini. Rakyat perlu melengkapkan
diri dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi
tinggi sehingga memupuk semangat kebangsaan yang unggul di dalam jiwa
masing-masing. Jika
rakyat tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, negara pasti tidak akan mampu
bersaing dengan negara-negara maju lain. Beliau mahukan pembangunan negara
mestilah seiring dengan pembangunan rohaniah agar keseimbangan antaranya
dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang,
gemilang dan terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan