Selasa, 6 November 2012

Kompetensi Kecerdasan Emosi


Dasarwarsa ini, kita sering dikejutkan dengan masalah salah laku pelajar dan guru yang dipaparkan oleh akhbar dan media massa yang lain. Terdapat kes-kes di mana guru di dakwa memukul pelajar,senior membelasah junior dan sebagainya. Apabila sesuatu  insiden pelajar atau pentadbir dan begitulah seterusnya tanpa menyedari perbuatan mereka umpama menepuk air di dalam dulang akhirnya terpercik ke muka sendiri. Siapakah sebenarnya yang bersalah?Apakah punca insiden-insiden ini berlaku? Mengapa masalah ini membelenggu generasi merdeka ini? Masih adakah cara untuk mengatasi senario tidak sihat ini? Penulisan ini akan merungkai segala persoalan di atas.
Perkara utama yang akan di bincangkan dalam penulisan ini ialah kecerdasan emosi atau di panggil Kompetensi Kecerdasan Emosi (KKE). Kecerdasan emosi didefinisikan sebagai sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau serta membuat diskriminasi di antara emosi sendiri atau emosi orang lain dan seterusnya, manfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan orang itu. (Young, 1996)
Masyarakat Malaysia kini menghadapi satu krisis di mana IQ (Intelligence Quotient) meningkat sedangkan EQ (Emotional Quotient) menurun. Peningkatan IQ ini dikaitkan dengan tahap pendidikan,nutrisi yang lebih baik dan kemudahan bagi mendapatkan maklumat secara terperinci. Saiz keluarga yang kecil juga di kaitkan dengan peningkatan IQ kerana anak-anak mendapat perhatian yang lebih daripada ibubapa. Kemerosotan EQ dalam masyarakat hari ini dapat di lihat dengan pertambahan kes-kes seperti keganasan, jenayah,penyalahgunaan dadah dan kes buli di sekolah.Kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga di kaitkan dengan Kemerosotan EQ. Kemerosotan EQ ini juga telah melanda institusi pendidikan negara kita. Kes –kes salah laku pelajar dan guru berpunca daripada EQ yang menurun. Berdasarkan keratan akhbar berikut ,  beberapa punca dan sebab – sebab berlakunya insiden salah laku pelajar dan guru dapat di kesan. Berikut merupakan sebab – sebab berlakunya gejala tidak sihat itu:


Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Itulah kata-kata yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian kita. Adakah masalah yang kian meruncing dalam dunia pendidikan ini menemui jalan buntu? Tidak, masalah salah laku pelajar dan guru ini ada jalan penyelesaiannya. Tetapi, bagaimanakah cara untuk mengatasinya? Komponen kompetensi kecerdasan Emosi ( KKE ) adalah penawar bagi masalah berikut.
            Kompetensi kecerdasan emosi ialah kebolehan untuk mengecam perasaan diri sendiri dan juga perasaan orang lain serta memotivasikan diri untuk mengurus emosi diri serta perhubungan kita dengan orang lain dengan baik.Kecerdasan emosi didefinisikan juga sebagai kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau serta membuat diskriminasi di antara emosi sendiri atau emosi orang lain dan seterusnya, manfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan orang itu.Kompetensi kecerdasan emosi mempunyai dua komponen iaitu kompetensi personal dan kompetensi sosial. Didalam kompentesi personal, ia mempunyai tiga elemen iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kawalan diri dan motivasi kendiri. Manakala di dalam kompetensi sosial, terdapat dua elemen utama iaitu kesedaran sosial(empati) dan kemahiran sosial.
            Kesedaran kendiri bermaksud seseorang itu mengenali emosi dan kesannya. Masalah seperti senior belasah junior berkait rapat dengan subkompetensi ini. Mereka tidak dapat mentafsir emosi mereka dan tidak memikirkan kesan yang akan menimpa mereka setelah mereka membelasah junior mereka. Jika individu terbabit mempunyai subkompetensi ini biasanya dia sedar akan emosi yang dirasakan dan sebabnya dan sedar akan kaitan antara perasaan dan pemikiran, perlakuan dan pertuturan. Mereka juga akan sedar tentang kelemahan dan kekuatan diri. Ini akan membuatkan mereka akan menjadi reflektif dan boleh belajar daripada pengalaman.
            Untuk memahami subkompetensi ini, pendedahan mengenai kesedaran kendiri perlu diperbanyakkan. Guru kaunseling juga perlu memberi penerangan yang berkesan mengenai kesedaran kendiri ini. Di samping itu, pelajar juga perlu sentiasa muhasabah diri sendiri dan berfikir dengan teliti sebelum melakukan sesuatu tindakan.
            Pengurusan kawalan kendiri boleh dilihat dari segi kawalan kendiri, amanah, ketekunan, kebolehsuaian dan inovasi. Tiap – tiap aspek didalam komponen ini mempengaruhi dan membentuk watak individu dari segi emosi khususnya. Kawalan kendiri amat penting bagi mengatasi masalah yang berlaku di kalangan guru dan pelajar. Hal ini kerana individu itu akan dapat menguruskan emosi yang destruktif. Contohnya sebagai seorang guru, mereka perlu mengurus emosi negatif dengan baik serta tenang semasa tertekan, Mereka juga perlu berfikiran waras dan berfokus dalam tekanan. Jika kita merujuk kepada petikan “Pelajar cedera dakwa di tumbuk guru”, kita dapat lihat bahawa guru tersebut lemah dari segi kawalan kendiri. Kawalan kendiri boleh di pupuk sekiranya guru tersebut berkongsi masalah dengan kawan ataupun kaunseling. Jadi, masalah ataupun tekanan yang di alami oleh guru tersebut boleh di kawal dan dapat bertindak dengan lebih relevan.
             Amanah juga termasuk dalam subkompetensi pengurusan kawalan kendiri. Ini bererti seseorang individu itu dapat mengekalkan piawaian kejujuran dan integriti. Laporan akhbar yang menyentuh tentang kesalahan rasuah seorang guru cemerlang amat memalukan. Sepatutnya, seorang guru perlu bertindak secara beretika, membina keyakinan melalui kepercayaan serta menunjukkan akhlak yang baik. Bagi mengelakkan kejadian ini berulang, iman yang mantap perlu diterapkan dalam kalangan guru melalui aktiviti kerohanian. Seorang guru itu juga perlu ikhlas dalam pekerjaan serta tidak terlalu mengejar kemewahan dan ingati tanggungjawab mereka terhadap negara iaitu mendidik generasi merdeka yang mempunyai minda kelas pertama.
            Keratan akhbar yang bertajuk “ buat kecoh sebab guru lelaki bengis” berkait rapat dengan inovasi yang terdapat dalam subkompetensi pengurusan kawalan kendiri iaitu seseorang itu sentiasa berfikir dan menerima idea-idea baru. Bagi mengatasi masalah yang di laporkan dalam akhbar berkenaan, guru perlulah mencari pendekatan yang di sukai pelajar dalam menangani masalah disiplin. Guru berkenaan juga perlu mendalami ilmu yang berkaitan psikologi remaja.

            Masalah salah laku yang menular dalam  kalangan pelajar dan guru juga boleh diatasi dengan pendekatan secara kompetensi sosial. Kompetensi sosial mempunyai dua subkomponen iaitu kesedaran sosial dan kemahiran sosial. Bagi mengatasi masalah tersebut melalui kompetensi sosial, kita boleh menggunakan pendekatan sub komponen yang pertama iaitu kesedaran sosial. Kesedaran sosial memerlukan individu itu menunjukkan beberapa jenis tingkah laku seperti empati, oreantasi khidmat, mengembangkan orang lain, melayani kepelbagaian dan kesedaran politik. Empati bermaksud memahami klien kita dan rakan – rakan sejawat serta mengesan emosi dan memahami pandangan orang lain dan mengambil berat tentang masalah mereka. Laporan akhbar yang bertajuk “17 pelajar pusat latihan menagih “berkait dengan elemen empati ini. Antara punca pelajar menagih ialah kurang perhatian di samping masalah keluarga. Oleh hal demikian, bagi menangani masalah ini, seorang guru itu perlu peka terhadap perubahan pelajar, memahami masalah mereka serta menjadi pendengar untuk mereka berkongsi masalah. Keprihatian guru terhadap pelajar seperti ini akan mengelakkan mereka kepada najis dadah.
            Sub komponen bagi kompetensi sosial ialah kemahiran sosial. Melalui pendekatan kemahiran sosial juga masalah – masalah laku dalam kalangan pelajar dan guru juga dapat diatasi. Kemahiran sosial bererti sesuatu individu itu mempunyai beberapa aspek tingkah laku sosial seperti pengaruh, komunikasi, kepimpinan berinspirasi, pemangkin perubahan, pengurusan konflik, menyemai dan mengekalkan hubungan, kolaborasi dan kerjasama dan keupayaan berpasukan. Masalah salah laku dalam kalangan pelajar boleh di atasi menggunakan pengaruh. Seseorang guru perlu menggunakan pengaruhnya bagi menarik pelajar supaya tidak terlibat dalam gejala sosial seperti dadah. Guru juga boleh menggunakan sahabat baik pelajar  untuk menasihati seseorang pelajar kerana kebiasaannya pelajar lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh sahabat berbanding guru.
            Komunikasi merupakan salah satu perkara yang terpenting bagi mengatasi masalah salah laku di kalangan pelajar dan guru. komunikasi yang salah akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku. Kes-kes seperti senior belasah junior dan pelajar cedera dakwa di tumbuk guru berpunca daripada masalah komunikasi. Bagi masalah ini, sesorang individu itu perlulah bertolak ansur, menghadapi dan menyelesaikan masalah dengan ketelusan serta memupuk komunikasi berkesan. Pengurusan konflik bermaksud individu itu dapat membuat rundingan dan menyelesaikan perselisihan. Masalah – masalah salah laku pelajar dan guru biasanya terjadi kerana lemah dari segi pengurusan konflik. Bagi mengatasinya, kita perlu mempunyai diplomasi dalam menyelesaikan masalah, menggalakkan perbincangan dan mewujudkan penyelesaian ‘ menang-menang’ ( win – win situation ).
            Senario yang tidak sihat ini juga dapat di atasi dengan menyemai dan mengekalkan hubungan. Aktiviti – aktiviti seperti sukaneka, gotong-royong dapat mengekalkan hubungan yang sedia terjalin. Hal ini akan dapat mengelakkan pergaduhan antara pelajar di samping mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar. Maka, kes-kes seperti senior membelasah junior, guru pukul murid tidak akan lagi kedengaran.
            Justeru itu, jelaslah bahawa berlandaskan kepada pendekatan kompetensi kecerdasan emosi ( KKE ) , gelaja – gejala salah laku yang melibatkan pelajar dan guru dapat diatasi sekiranya pendekatan tersebut diterap dalam diri setiap individu tidak kiralah guru mahupun pelajar. Elemen – elemen di dalam kompetensi tersebut adalah sangat sesuai bagi  mengatasi masalah yang melibatkan salah laku pelajar dan guru. Masalah-masalah ini perlu di atasi sehingga ke akar umbi bagi mengelakkan generasi merdeka ini terus hanyut dalam arus kemodenan kerana merekalah peneraju utama negara di masa hadapan. Dalam usaha kerajaan mebangunkan modal insan, kompetensi kecerdasan emosi ini perlu diterapkan agar hasrat murni kerajaan itu tercapai dengan jayanya tanpa sebarang halangan.

Globalisasi Pendidikan dan Cara Menanganinya


Sistem pendidikan akan berubah sejajar dengan peubahan aspek ekonomi, budaya dan politik Perubahan aspek tersebut amat hebat dan pantas. Leka dan alpa boleh menyebabkan kita terpinggir dan tersingkir. Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat dan terlalu sengit. Pendek kata prinsip dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem pendidikan dan persekolahan dalam menghadapi gelombang perubahan alaf baru perlu berfungsi pada landasannya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

 Perubahan-perubahan yang hebat dan pantas dalam aspek pendidikan, ekonomi, budaya dan politik adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia. Cabaran-cabaran pendidikan yang besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global, pendidikan bertaraf dunia, penerapan budaya ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), merapatkan jurang pendidikan, pembinaan budaya ilmu, memartabatkan profesionalisme perguruan, menghapuskan rintangan pendemokrasian pendidikan, semua itu perlu dilakukan ke arah membentuk masyarakat madani dan negara yang maju dalam konteks pendidikan . Justeru itu, agenda penting untuk membangunkan rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Justeru , kita perlu mengkaji secara mendalam apakah tindakan drastik yang perlu diambil secara serius supaya globalisasi pendidikan dapat dicapai. Globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media. Mengikut Profesor Michael Gibbons (2003) Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel menyatakan globalisasi merupakan proses berterusan dalam perindustrian pendidikan yang telah berlaku lama dahulu. Mengikut beliau globalisasi pendidikan ialah proses perubahan untuk amalan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti. Fungsi utama globalisasi pendidikan ialah menghasilkan sumber-sumber yang diperlukan untuk pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan proses berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengalaman individu. Justeru itu kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah positif seperti menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) dan mengembangkan sekolah-sekolah bestari, mereformasikan kurikulum sekolah , serta penswastaan pendidikan tinggi dengan memberi peluang untuk penubuhan kolej-universiti di dalam negeri.
 Cabaran seterusnya adalah pendidikan bertaraf dunia. Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status ‘World Class Education’. Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu menekankan pembangunan tenaga manusia, kepesatan pertumbuhan ekonomi membaiki taraf dan kualiti kebajikan sosial, pemodenan dan reformasi sosial masyarakat, kecemerlangan budaya fikir dan intelektual, pembangunan teknologi dan sains, kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat. Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
Dalam mencapai kecemerlangan pendidikan, menjadi satu cabaran pendidikan untuk mempraktikkan teknologi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dalam penggunaan teknologi dan perkomputeran para pendidik perlu mengambil peranan dan seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian. Guru hendaklah berorientasikan maklumat, iaitu bersungguh-sungguh mengejar maklumat-maklumat baru yang berkaitan dengan Pendidikan Komunikasi (ICT). Ini bukan sahaja untuk mengemaskinikan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri sendiri tetapi juga untuk faedah pelajar-pelajar. 

      Bidang keguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai misi nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu IT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai golongan yang akan menyebar luaskan kepada para pelajar. Guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020, Kerajaan membangunkan koridor raya multimedia (MSC) sebagai pusat telekomunikasi  dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat  masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik  dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan semaksima mungkin. Jangan ada di kalangan guru dan pentadbir sekolah yang berfikiran sempit dengan ‘mengunci’ segala peralatan kerana takut rosak. Situasi ini akan merugikan pelajar dan kerajaan. Guru juga tidak menjadikan alasan teknologi yang dibekalkan sebagai satu masalah kepada mereka.
Cabaran lain adalah meningkatkan profesionalisme perguruan. Menjadi satu kepentingan dan amat mustahak supaya golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa menghidupkan motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi cabaran-cabaran baru, disamping meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi oleh murid, ibubapa dan masyarakat. Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan menangani masalah asas pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun khususnya di Malaysia memerlukan resolusi yang lebih radikal dilakukan. guru-guru perlu berwibawa dengan ilmu pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang progresif, dan dapat mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat perlu diluaskan skopnya dan tidak hanya berada di takuk lama dengan menganggap guru hanya mengajar di sekolah. Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk berubah.
Menjadi hasrat yang amat besar oleh pihak kerajaan untuk mencapai semua kejayaan terutamanya dalam bidang pendidikan negara. Namun begitu, ia tidak bermakna jika hanya segelintir rakyat yang mendapat peluang itu. Seluruh rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, dan kaum minoriti lain perlu mendapat pendidikan sewajarnya. Masyarakat bumiputra asli atau mereka yang tinggal di pedalaman perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Ini amat perlu untuk merapatkan jurang pendidikan dan seluruh rakyat Malaysia mendapat hak mereka. Namun begitu, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, masih ada ibu bapa dari pedalaman yang takut untuk  menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Pemikiran jumud ini perlu dibersihkan supaya keadaan mereka berubah dan anak-anak merekalah yang akan merubah kehidupan mereka daripada dibelenggu kemiskinan.
Perdana Menteri Malaysia,YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah meminta rakyat supaya mencari strategi dan pelan baru bagi menghadapi alaf mendatang ini. Rakyat perlu melengkapkan diri dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi tinggi sehingga memupuk semangat kebangsaan yang unggul di dalam jiwa masing-masing. Jika rakyat tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, negara pasti tidak akan mampu bersaing dengan negara-negara maju lain. Beliau mahukan pembangunan negara mestilah seiring dengan pembangunan rohaniah agar keseimbangan antaranya dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.  

Kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Pendidikan adalah teras kepada kehidupan yang sejahtera dan dinamik.. Pendidikan secara tidak langsung menentukan corak serta mutu kehidupan manusia. Pendidikan yang berkesan bakal melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri yang kuat dan mulia. Peranan pendidikan sangat penting dalam pembentukan generasi muda untuk menjadi rakyat Malaysia yang dapat menyumbangkan bakti dalam perkembangan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik di Negara ini.  Berdasarkan pernyataan di atas, matlamat pendidikan Negara bolehlah dinyatakan secara ringkas sebagai usaha untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek,rohani dan jasmani

Elemen yang pertama adalah pendidikan suatu usaha berterusan. Definisi pendidikan ialah suatu proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan ,bertenaga serta mahir serta berakhlak mulia. Dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek, ternyata elemen ini perlu dilaksanakan dengan jayanya. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat yang mana bermula dari pendidikan tidak formal di rumah dalam peringkat awal kanak-kanak seterusnya di prasekolah, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja. Tidak terhenti setakat itu, pendidikan di Institut Pengajian Tinggi menjadi destinasi budaya ilmu seterusnya. Tidak setakat tamat setelah menggenggam segulung ijazah, pendidikan sewajarnya diteruskan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w “Tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad”. Pendidikan tidaklah terhad dalam bentuk formal di institusi pengajian sahaja, malah pendidikan meliputi semua termasuk pengalaman sendiri, melalui orang lain atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara on-line dan melalui media massa. Rasional pendidikan sepanjang hayat adalah membolehkan kita menghadapi dan menangani pelbagai cabaran dan pembangunan yang pesat, khasnya perkembangan k-ekonomi dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi. Justeru itu, pendidikan secara berterusan ini merupakan hasrat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan perlaksanaan elemen ini, rakyat Malaysia akan menjadi bangsa yang berilmu dan seterusnya mampu menyahut seruan kerajaan selaras matlamat Wawasan 2020. Warganegara Malaysia akan menjadi bangsa yang bertamadun, kuat dan berjaya, memacu ekonomi negara serta pembangunan moden yang meletakkan Malaysia setaraf negara-negara maju di dunia. Semua ini bermula dengan memperkasakan ilmu secara berterusan.


Elemen yang seterusnya adalah memperkembang potensi individu. Mengikut kajian, setiap individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani emosi dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi adalah terpendam dalam kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembang dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir, seperti menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, menguasai kemahiran asas untuk memeroleh, meningkat dan menyebarkan ilmu, dapat berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dan dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.
Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan tubuh badan individu seperti memperkembang kepada tahap keupayaan seperti menjaga kesihatan tubuh badan diri melakukan riadah dengan sempurna;menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap; memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan meningkatkan daya pengeluaran demi memberi sumbangan kepada kemajuan Negara.
Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat iaitu  memperoleh perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal ;memiliki perasaan kasih sayang ;memiliki semangat kekitaan, muhibbah kerjasama dan perpaduan dan mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian
            Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan kebatinan iaitu mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya pencipta; mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta;mempunyai perasaan menyedar dan menginsaf terhadap tanggungjawab; dapat memupuk dan membina disiplin kendiri dan dapat membentuk akhlak yang mulia.  

Elemen yang seterusnya adalah insan yang seimbang dan harmonis. Insan yang seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan , bertenaga mahir dan berakhlak mulia mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram , tubuh badan sihat dan cergas, serta kematangan emosi sosial dan rohani telah diperkembang secara menyeluruh bersepadu dan dalam tahap optimum
            Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu secara inetelek, jasmani , emosi social dan rohani, telah diperkembang secara menyeluruh bersepadu dan dalam tahap optimum.
            Insan yang seimbang dan harmonis adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri keluarga dan Negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan Negara.
           

Akhir-akhir ini modal insan sering diperkatakan dan diberikan penekanan yang serius oleh Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian, siapakah modal insan ini dan bagaimana mereka dapat menyumbang kepada kemajuan Negara. Modal insan merupakan individu yang tidak bersifat individualistik tetapi bersifat sebahagian daripada masyarakat Malaysia, berilmu, berkeyakinan, memiliki nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, keluarga mantap, berdisiplin, dinamik, berdaya tahan tinggi, berinovasi, kreatif, sihat, bersemangat patriotik dan nasionalisme, adil, bersikap progresif, cekal, berintegrasi dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara selaras, menyeluruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu ,menikmati keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang.