Nabi Musa a.s. membaca kitab Taurat yang didapatinya mengenai kelebihan kepada suatu umat. Dalam “loh-loh” kitab “Taurat”, Nabi Musa a.s. telah dapat membaca tentang kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada umat itu. Lalu Nabi Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. siapakah umat itu? Adakah ia umatku? Lantas Allah s.w.t. memberitahu Nabi Musa bahawa umat itu ialah “Umat Muhammad”.
Berkata Wahab bin Munabbih rahimullah: “Apabila Musa a.s. membaca pada loh-loh terlihat olehnya akan sifat-sifat kenabian umat Muhammad, lalu baginda berkata: “Ya Tuhanku, siapakah umat yang dibelas kasihani yang aku dapati tersebut dalam loh-loh ini?” Berfirman Allah: “Itulah umat Muhammad. Mereka redho dengan rezeki yang sedikit yang Aku berikan kepadanya. Maka Aku pun redho dengan amalan yang sedikit dari mereka. Akan AKU masukan mereka dalam syurga dengan hanya mengucapkan “Laillah haillallah” saja. Berkata Musa a.s. lagi: “Aku dapati dalam loh ini suatu umat yang akan dibangkitkan di Hari Kiamat, sedang wajah-wajah mereka bersinar cahaya laksana bulan purnama, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: “Mereka itu umat Muhammad.”Aku bangkitkan mereka itu di Hari Kiamat, sedang wajah-wajah mereka bersinar dan bercahaya disebabkan bekas-bekas dari wuduk dan sujud.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang berkain selendang di belakang masing-masing, dan bersenjatakan pedang di bahu masing-masing. Mereka itu orang-orang yang sentiasa bertawakkal dan dadanya penuh keyakinan. Mereka melaung-laungkan nama Allah di hadapan tiap-tiap rumah Tuhan untuk berjihad di atas kebenaran, sehingga akhirnya mereka pun membunuh Dajjal, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Tidak! Mereka itu umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang menyembahMu pada sehari semalam lima kali sembahyang pada lima waktu, sehingga terbukalah pintu-pintu langit untuk mereka, dan turunlah rahmat ke atas mereka, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang berpuasa sebulan ramadan untukMu, lalu Engkau mengampuni mereka terhadap segala kesalahan mereka yang sebelum itu, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang mengunjungi Baitulharam (Kaabah) untukMu. Mereka tiada keperluan lain untuk ditunaikan. Mereka hanya meratap menangisi diri mereka, serta mengangkat suara dengana takbir membesarkan Tuhan, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu umat Muhammad. Musa menambah kata: Apakah ganjaran mereka atas perbuatan itu? Jawab Tuhan: Aku akan menambah mereka maghfirah (keampunan) dan Aku akan benarkan mereka untuk memberi syafaat (jaminan) kepada sesiapa yang datang sesudah mereka.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang memohon keampunan dari dosa-dosanya. Mereka menyuap suatu suapan ke dalam mulutnya, dan belum sempat makanan itu sampai ke perutnya, melainkan dosa-dosa itu telah diampunkan Tuhan. Mereka memulakan menyuap makanan itu dengan menyebut namaMu serta mengakhirinya dengan mengucap syukur Alhamdulillah, jadikanlah mereka itu umatku. Berfirman Tuhan: “Mereka itu adalah umat Muhammad.”
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat, mereka itulah orang-orang yang terdahulu dibangkitkan menuju ke Mahsyar pada Hari Kiamat, dan mereka jugalah orang-orang yang terakhir dari makhluk-makhluk yang lain, ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang menyimpan kitab-kitab sucinya di dalam dadanya, mereka membacanya di mana mereka suka, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk mengerjakan suatu kebajikan, malah tiada dikerjakannya, maka akan dicatatkan baginya suatu kebajikan. Akan tetapi jika diteruskan cita-citanya itu dengan mengerjakan kebaikan itu, maka akan dicatatkan baginya sepuluh kali ganda sepertinya, sehingga menjadi tujuh ratus kali ganda, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk mengerjakan suatu kejahatan, kemudian tiada dilakukannya, tiadalah dicatatkan di atasnya dosa. Akan tetapi jika diteruskan cita-cita itu dengan mengerjakan kejahatan itu, barulah dikira atasnya suatu dosa, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat, mereka itu adalah sebaik-baik manusia. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam loh-loh ini suatu umat yang dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam tiga golongan. Segolongan akan memasuki syurga tanpa hisab. Segolongan lagi akan dihisab dengan perhisaban yang ringan saja. Dan segolongan terakhir diampunkan Tuhan segala dosanya, lalu mereka pun memasuki syurga, jadikanlah mereka itu umatku! Berfirman Tuhan: Mereka itu adalah umat Muhammad.
• Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Engkau telah anugerahkan segala kebaikan untuk Ahmad (Muhammad) dan umatnya, maka jadikanlah aku dari umatnya! Berfirman Allah Taala, sebagaimana yang tersebut di dalam al-Quran:
“Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah memilih engkau dari antara manusia untuk menyampaikan perutusanKu dan percakapanKu, maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu, dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur.” (al-A’raf: 144)